Budaya melancong yang unik di Bumi Sakura


Written by Hafizah Khusni

Memandu kenderaan sambil menikmati keindahan semulajadi dan kecantikan 4 musim di Jepun adalah salah satu aktiviti menarik untuk dilakukan. Anda mungkin memilih jarak perjalanan yang lebih jauh sekadar untuk menikmati keindahan pokok sakura yang mekar penuh mahupun daun-daun yang bertukar warna kepada kuning dan merah. Dalam perjalanan yang lama dan jauh ini, jika anda tidak menggunakan lebuh raya berbayar dan memilih jalan biasa atau dikenali juga sebagai lebuh raya kebangsaan, anda akan terjumpa beberapa penunjuk jalan yang tertulis ‘Michi no Eki’.

1

Apa itu Michi no Eki? Michi no Eki (道の駅) jika diterjemah bulat-bulat bermakna ‘Stesen Lebuh Raya’. Di atas peningkatan motorisasi di Jepun, bekas Menteri Pembinaan mengambil keputusan untuk membina kawasan servis awam yang beroperasi 24 jam. Michi no Eki adalah kawasan rehat di jalan-jalan biasa yang menyediakan tempat letak kenderaan percuma, tandas dan pelbagai informasi terutamanya tentang produk dan tarikan-tarikan tempatan. Bermula dari April 1993, kerja membina Michi no Eki dimulakan dan kini, pada tahun 2016 sebanyak 1093 Michi no Eki telah dibina dan didaftarkan merentasi Jepun.
Oleh kerana pembinaannya di bawah pengurusan kerajaan tempatan manakala organisasi swasta yang ditugaskan untuk pengurusan kemudahan, setiap Michi no Eki mempunyai keunikan yang tersendiri terutamanya dalam menonjolkan keistimewaan tempatan. Di bandar Sano, terdapat Michi no Eki bernama Domannaka Tanuma (ど真ん中田沼). Tanuma ialah nama sebuah daerah di dalam bandar Sano manakala Domannaka memberi makna ‘betul-betul di tengah-tengah’. Nama yang unik ini diberi kerana daerah Tanuma berada betul-betul di tengah-tengah kepulauan Jepun.

2

Saya sempat melawati Michi no Eki Domannaka Tanuma beberapa hari lepas. Di sini, terdapat banyak makanan tempatan seperti makanan keistimewaan Sano; Imo Furai. Selain itu, kedai roti yang cantik, restoran masakan Cina, kedai gelato, dango, takoyaki dan banyak lagi juga tersedia. Kesemuanya masih belum mendapat pengisytiharaan halal, namun bandar Sano sedang meletakkan sepenuh tenaga ke arah meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang halal dan juga penyediaan makanan halal untuk pelancong dan pelawat Muslim di tempat tarikan pelancong seperti Michi no Eki ini.
Salah satu tarikan utama di sini adalah Ashiyu (足湯). Ashiyu adalah budaya merendam kaki di dalam air panas (onsen). Di Michi no Eki ini anda boleh mencubanya dengan percuma! Sumber air panas di sini datang daripada Onsen Tanuma. Sesiapa sahaja boleh menikmatinya sambil merehatkan kaki yang penat setelah melalui perjalanan yang jauh.

3

4

Mereka sedang menikmati Ashiyu

Setiap tahun Michi no Eki Domannaka Tanuma akan mengadakan beberapa acara tahunan yang terhad tempohnya. Sewaktu lawatan saya beberapa hari lepas, terdapat Spa Doctor Fish di Fureai Hall. Dengan bayaran 500 yen seorang, anda boleh mencuba spa ini selama 8 minit. ‘Garra Rufa’ merupakan nama sebenar ikan tersebut tetapi ia lebih dikenali dengan gelaran Doctor Fish kerana tabiatnya yang suka mengigit dan memakan sel-sel mati. Selain itu, antara kesan positif daripada spa ini adalah ‘peeling effect’ daripada gigitan ikan tersebut dan sel-sel mati dibuang, ‘massage effect’ daripada getaran yang terhasil ketika ikan menggigit dan juga ‘relaxing effect’ daripada stimulasi dihasilkan yang menenangkan anda. Acara terhad ini hanya dijalankan dari May hingga September sahaja.

5

Pelawat sedang mencuba Spa Doctor Fish
Selain itu, saya masih ingat pertama kali saya menjejakkan kaki ke sini adalah pada November tahun lepas. Ketika itu saya dan keluarga dalam perjalanan pulang dari Karuizawa menikmati keindahan musim luruh. Kami merancang untuk makan malam di Nikkoken di Sano yang menyediakan ramen dan gyoza halal. Dalam perjalanan ke sana, kami singgah sebentar di Michi no Eki Domannaka Tanuma untuk menukar lampin bayi saya kerana setahu saya tandas awam dan bilik bayi yang disediakan di Michi no Eki lazimnya bersih dan selesa. Ternyata jangkaan saya tidak salah! Setelah selesai urusan, kami menghabiskan masa beberapa minit untuk menikmati Garden Illumination di sini. Dari akhir musim luruh dan sepanjang musim sejuk, Michi no Eki Domannaka Tanuma akan mengadakan Garden Illumination yang dibuat daripada 10,000 mentol dan lampu LED. Sangat cantik walaupun tiada sebarang bayaran dikenakan!

6

Garden illumination di Michi no Eki Domannaka Tanuma
Selain itu, antara perkara yang menarik pelawat dan pelancong untuk datang ke sini adalah sayur-sayuran dan buah-buahan yang dijual dengan harga yang sangat murah! Di Michi no Eki Domannaka Tanuma anda boleh membeli sayur-sayuran dan buah-buahan tanaman tempatan segar dipetik pada waktu pagi dengan harga berpatutan. Terdapat juga bahagian jualan produk-produk terpilih dari seluruh negara dan juga cenderamata Tochigi. Bahagian-bahagian ini penuh sesak dengan kunjungan pelanggan yang ingin membeli buah tangan. Kebetulan pula hari tersebut adalah cuti umum di Jepun, iaitu Hari Menghormati Orang Tua-tua.

7

Antara sayur-sayuran segar yang dijual
Bercakap tentang kemudahan yang disediakan, selain tandas awam dan bilik bayi yang selesa, EV Stand juga turut disediakan di sini. Pemandu yang ingin mengecas kenderaan elektrik anda boleh berhenti sebentar dan menggunakan kemudahan ini. Pengecas yang disediakan adalah pengecas segera dengan kadar 50 kW dan anda boleh mengecas kenderaan anda selama lebih kurang 30 minit. EV Stand ini beroperasi daripada pukul 9:30 pagi hingga 7:00 malam sahaja.

8

EV stand di Michi no Eki Domannaka Tanuma
Kepada perokok yang mahu menyegarkan diri, di sini tersedia kawasan khas untuk merokok. Di Jepun, perokok tidak dibenarkan merokok di tempat-tempat awam. Tetapi, banyak kawasan khas untuk merokok disediakan untuk mengelakkan timbulnya gangguan kepada bukan perokok dan juga masalah kebersihan. Saya sangat kagum dengan sikap penduduk Jepun yang sangat patuh dengan peraturan ini dan saya fikir peraturan ini juga patut dilaksanakan di negara lain juga!

9

Kawasan merokok khas di Michi no Eki Domannaka Tanuma
Kesimpulannya, Michi no Eki bukanlah hanya sebuah tempat persinggahan dalam perjalanan panjang anda. Tetapi, Michi no Eki juga boleh dijadikan sebagai sebuah destinasi yang membuatkan pengembaraan di bumi Sakura anda lebih menyeronokkan.

Michi no Eki – Domannaka Tanuma

Tel
0283-61-0077
Address
366-2, Yoshimizucho, Sano-shi, Tochigi, 327-0313, Japan
Website
https://domannaka.co.jp/

Related Article

[card url=”https://www.halalmedia.jp/archives/16727/enjoy-muslim-friendly-town-sano-premium-outlet-mountain-welcomes-cats-best-gyoza-japan/”]

HALAL GOURMET JAPAN

メルマガ会員募集中

Tags: